Assalamualaikum, Selamat Malam teman sekalian. Senyum manis Si Payung Hati lemparkan pada anda yang melawati blog Si Payung Hati. Slot Si Payung Hati kali ini ingin melontarkan sedikit isu semasa yang kini tiada penghujungnya diutarakan dari semasa ke semasa tidak kira di media sosial mahupun media cetak. Oleh itu, Si Payung Hati tertarik untuk memberi sedikit pandangan mengenai isu " Pendapatan Isteri Lebih Tinggi Berbanding Suami." Ada satu komen di salah satu blog yang memberi satu inspirasi kepada Si Payung Hati agar mengemukakan isu ini, dimana beliau mengatakan bahawa "tak salah gaji isteri lebih tinggi daripada suami.. tapi kalau suami duk makan gaji isteri tanpa buat apa-apa memang tak patut.. sebab lelaki adalah ketua keluarga, dia kena jaga isteri, beri nafkah kepada isteri".
SECARA
tradisinya, seseorang wanita yang telah berumah tangga akan
bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir rumah tangganya. Umum
memaklumi bahawa tanggungjawab wanita sebagai seorang isteri atau
ibu adalah memastikan keluarganya dapat diuruskan dengan baik. Rezeki
yang diberikan oleh suami dapat diagih-agihkan kepada setiap ahli
keluarga dengan adil dan menjadikan setiap ahli keluarga merasa
selesa. Memikul peranan sebagai seorang ibu juga termasuklah
memelihara anak-anak dengan memberikan didikan yang sempurna.
Kedudukan wanita yang telah berumah tangga dan pelaksanaan tanggungjawab ini selaras dengan maksud sebuah hadis Nabi yang berbunyi;
"Setiap
orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu
akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya" dinyatakan juga
padanya: Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia akan
ditanya tentang apa yang dipimpinnya."
Kedudukan
seseorang wanita yang telah berumah tangga juga terikat dengan
ketentuan Islam yang menjadikan lelaki sebagai ketua rumah tangga
sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
"Kaum
lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab
terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah telah melebihkan
orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang
perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan
(memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka
perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan
suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang
wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan
pemeliharaan Allah dan pertolonganNya" (Al-Nisa': 34)
Jika
difikirkan dari sudut positif, ini adalah kelebihan buat keluarga dan
suami. Sebab isteri banyak membantu dalam meringankan beban ekonomi
keluarga. Apa yang kurang isteri boleh tolong tambah serba
sedikit. Si suami pula tidak mengharapkan duit isteri, namum apa
salahnya jika si isteri sudi bersedekah untuk kebaikan dan kebahagian
keluarganya juga, semi kelangsungan kehidupan keluarga.
Namum
berapa ramai suami yang berhadapan situasi begini yang mampu bersikap
positif. Dalam bercerita bab positif, bab negatif pun ada banyaknya
juga.
Dari
sudut negatif seorang suami yang rasa tercabar, kerana sebagai ketua
keluarga dan seorang lelaki, dia tidak mampu menyara keluarga
sepenuhnya, malah perlu mendapatkan bantuan isteri. Mungkin timbul
sedikit rasa rendah diri dan rasa terhina apabila isteri asyik duk
mengungkit.
Dari
sudut negatif seorang isteri pula, mungkin dia merasa hebat dan megah
kerana walaupun dia cuma seorang wanita, namum gaji dia lebih besar
dan segala harta seperti rumah, barangan perabot, kereta mewah
semuanya milik si isteri. Jadi rasa hormat dia kepada suami
berkurang, malah tindak dianggap suami seperti ketua keluarga, malah
lebih teruk si suami terpaksa mengikut sahaja apa keputusan isteri.
Lebih
negatif adalah apabila si suami yang hanya tahu makan duit isteri.
Duit gajinya diguna untuk berfoya sakan, duit isteri digunakan untuk
belanja dirumah. Lelaki macam ni memang tak guna,sepatunya duit
isteri hanya diguna pakai apabila si suami dalam keadaan sesak, poket
dah kering. Tapi dia salah guna, hentam duit isteri dia pula.
Secara
positifnya tiada salah isteri bergaji besar serta berjawatan besar,
namum tanggungjawab sebagai suami isteri perlu dijaga. Suami
jangan harapkan duit isteri, tapi jadikan itu sebagai backup jika ada
kecemasan atau duit belanja tidak cukup, maklumlah semua harga
sekarang dah naik...inflasi..inflasi..Isteri juga perlu tahu
menghormati suami, walaupun gaji suami kecil, kerja biasa-biasa
sahaja, tetapi di rumah suami tetap ketua keluarga, jangan pijak
kepala suami.
![]() |
Saling
memahami dan membantu pasangan dalam mengukuhkan ekonomi keluarga
|
Walaupun
isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi dari suami, si suami
tidak boleh lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya segala
perbelanjaan rumahtangga kepada isteri, sepatutnya di awal
perkahwinan suami perlu berbincang dengan penuh hikmah dan kelembutan
berkaitan sara hidup keluarga lebih-lebih lagi jika pendapatan suami
lebih rendah dari isteri. Isteri keluar bekerja dengan keizinan
suami, pendapatan yang diperolehi isteri adalah hak isteri tetapi
sekiranya dia dengan kerelaan hatinya membantu kewangan
keluarga adalah lebih baik. Suami tidak boleh sama sekali memaksa
isterinya untuk menggunakan semua pendapatan isteri untuk menyara
keluarga termasuk melunasi hutang piutang suami. Sekiranya isteri
sukarela membantu suami dalam urusan perbelanjaan keluarga dan
menggunakan gajinya untuk melunasi hutang suami tidak menjadi satu
kesalahan dalam islam. Lebih-lebih lagi di zaman yang sedang
mengalami kenaikan harga barangan dan saraan hidup yang meningkat
tinggi, isteri yang sanggup membantu meringankan beban suaminya
adalah tindakan yang bijak dan patut diberi pujian.
Tidak
akan bahagia sesebuah rumahtangga yang di dalamnya sentiasa berlaku
pertengkaran dan pergaduhan disebabkan keegoan dan tidak puas hati
terhadap sikap dan perilaku pasangan suami atau isteri. Pergolakan
rumahtangga yang berpanjangan disebabkan isu nafkah ini akan
memberi kesan terhadap anak-anak dan secara tidak langsung anak-anak
akan membesar dalam keadaan yang tidak sempurna serta harmoni, tidak
mustahil juga rumahtangga yang dibina akan runtuh.
Sebenarnya,
jika dilihat di sekeliling kita, ramai isteri yang
bergaji/berpendapatan lebih tinggi dari lelaki. Dan kebanyakan mereka
juga hidup bahagia dan aman walaupun tidak begitu mewah. Kunci
kejayaan untuk bahagia dalam situasi “WIFE IS THE BREAD WINNER”
ini adalah SEDAR, IKHLAS dan BERTOLAK ANSUR.
SEDAR
- Bagi pasangan-pasangan tidak sama taraf “pendapatan” yang ingin berkahwin, perlulah berbincang sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Bakal si suami dan si isteri, perlu jujur dalam hal ini. Suami perlu berterus terang tentang pendapatan beliau dan bakal isteri perlu sedar, sekiranya dia berkahwin dengan lelaki tersebut, dia juga akan menyumbang sebahagian dari pendapatannya untuk keluarga. Kadang-kadang lebih dari suami. Dan nasihat saya, rancanglah perbelanjaan keluarga secara kasar, sebelum berkahwin, supaya kedua-dua pihak sedar akan kemampuan dan tanggungjawab masing-masing.
- Dan suami juga, apabila sudah berkahwin, perlu sedar yang sebahagian tanggungjawab menyediakan nafkah telah dibantu oleh isteri. Suami perlu banyak bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sanggup membantu meringankan beban anda itu. Oleh itu, si suami perlu ringan tangan membantu dari segi hal rumahtangga pula. Anda bekerja, isteri anda pun bekerja. Jadi apabila dirumah, suami dan isteri perlu sama-sama juga berusaha menguruskan rumah tangga. Si isteri masak, si suami basuh pinggan. Si isteri basuh kain, si suami menyidai. Si isteri menggosok baju, si suami melipat baju. Si isteri mengemas rumah, si suami membersih bilik air. Benda-benda ringan seperti ini sebenarnya akan jadi berat sekiranya dilakukan seorang diri. Isteri mana tidak mengomel, kalau si suami, sudahlah makan minum pun tidak ditanggung sepenuhnya, kemudian jadi boss besar di rumah sambil goyang kaki. Itu tidak adil dan zalim namanya! Dan ini bukan layan suami terhadap isteri, tetapi layanan tuan kepada hambanya!
IKHLAS
- Perkara ini berlaku terhadap isteri yang pada satu tahap dia tidak lagi mahu berkorban wang ringgit untuk keluarganya. Saya pernah berjumpa seorang rakan yang tidak mahu berkongsi wang dalam urusan rumah tangga. Baginya duit dia hak dia. Suami yang perlu menanggung segalanya. Nasib baik, rakan saya ini mendapat suami yang baik. Si suami yang bergaji kecil ini, sedaya upaya membanting tulang, bekerja siang malam, mencari OT, demi untuk menampung hidup keluarga di bandar metropolitan ini. Mana kala si isteri, masih lagi dengan sikap enjoy macam anak dara, membeli belah tanpa berfikir panjang dengan duit gaji bulananya. Lebih-lebih lagi apabila sudah berkahwin, sewa rumah dan barang dapur dibiayai sepenuhnya oleh suami. Jadi bertambah mewahlah si isteri.
- Tapi sampai satu tahap, si suami, makin lama makin tidak bertenaga. Stress dan juga letih bekerja mencari nafkah. Akhirnya selepas dua tahun berkahwin, si suami jatuh sakit. Dan yang mengharukan, si suami tadi menangis teresak-esak mengenangkan perbelajaan bulanan tidak akan cukup kerana dia tidak berkerja OT bulan itu akibat jatuh sakit. Pada masa itu, barulah si isteri sedar akan pengorbanan si suami. Isteri mana sanggup melihat suaminya menangis kerana tekanan.. Sejak dari itu, barulah si isteri dengan ikhlas hati membantu si suami dari segi kewangan.
- Pengajarannya ialah, kita perlu seikhlas hati membantu suami sekiranya diperlukan. Sanggupkah kita membiarkan suami seorang diri terbeban dengan perbelanjaan rumah yang tinggi masa kini. Memang bukan tanggungjawab kita. Tidak berdosa sedikit pun kiranya kita tidak membantu. Tetapi bayangkan betapa besarnya pahala seorang isteri yang seikhlas hati membantu suami. Dan Insyaallah, bila suami berbahagia dengan kita, syurgalah balasannya untuk kita.
BERTOLAK
ANSUR
- Perkara utama ini sangat perlu dalam mana-mana hubungan. Suami isteri perlu saling bertolak ansur dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tiada manusia yang sempurna, tetapi manusia boleh berusaha untuk menjadi lebih baik. Suami yang bergaji kecil, perlu sedar isteri yang membantu anda bukan atas satu kewajipan, tetapi atas dasar kasih sayang. Jangan pula si suami terus lepas tangan dari menyara keluarga kerana isterinya bergaji besar. Sepatutnya, duit gajinya itu semua diserahkan untuk perbelanjaan keluarga. Jangan pula gaji yang sedikit itu sebahagiannya dilaburkan pada bekalan rokok, belanja pergi memancing, menukar ‘sport rim’ kereta dan sebagainya. Dan jangan jadi ‘king control’ duit isteri. Sebanyak mana isteri anda sanggup bagi, terimalah dengan rasa bahagia. Selebihnya, jangan ditanya. Itu hak si isteri.
- Si isteri pula, jangan memperkecilkan peranan suami walaupun gajinya kecil. Bagaimana tinggi darjat dan besar gaji anda di luar rumah, di rumah suami tetap ketua yang memimpin keluarga. Usah pula meninggi suara dan berlagak sombong dengan si suami. Setiap keputusan besar yang melibatkan hal rumah tangga perlu dibincangkan dengan suami. Tanam juga dalam hati, kalau ingin berbelanja (membeli barang-barang peribadi), adakah ianya satu keperluan atau pembaziran. Adakah duit itu lebih bermanfaat jika dibelanjakan untuk keluarga. Adakah keluarga anda akan terbeban sekiranya anda terlebih berbelanja.
- Isteri yang bergaji lebih besar, perlu bijak mengatur perbelanjaan untuk keluarga dan diri sendiri. Bantu suami anda bukan sahaja dari segi wang ringgit tapi juga dari segi pengurusan perbelanjaan keluarga itu sendiri. Perbincangan antara suami isteri perlu dilakukan bukan bergantung kepada keputusan sebelah pihak sahaja.
Jadi,
kepada gadis-gadis diluar sana, usah begitu gusar mencari pasangan
yang gajinya lebih tinggi dari anda. Carilah suami yang baik dan
bertanggungjawab, kerana kalau yang tidak bertanggungjawab, gaji yang
berjuta ringgit sebulan pun belum tentu dapat membahagiakan anda.
Contohilah,
Siti Kadijah isteri pertama Rasulallah s.a.w kita. Biarpun beliau
pada asalnya jauh lebih kaya dan berharta dari Baginda Rasullah
s.a.w, tetapi beliau dengan seikhlas hati menerima Nabi sebagai
suami.
Jalan
penyelesaian terbaik ialah saling memahami dan membantu pasangan
dalam mengukuhkan ekonomi keluarga. Suami tidak hanya berpeluk
tubuh dan menyerahkan segala urusan kewangan keluarga kepada
isteri secara mutlak,sebagai bapa dan ketua keluarga perlu berusaha
lebih gigih dan membuat perhitungan yang bijak dalam menjana
pendapatan. Hargailah penat lelah isteri membantu perbelanjaan
keluarga namun jangan sampai untuk kenderaan sendiripun isteri
terpaksa membayar hutangnya,suami walaupun bergaji kecil sekiranya
bijak mengagihkan pendapatan dan memberi nafkah mengikut
kemampuannya tentu masalah tidak timbul dan isteri pasti
memahaminya.
Wallahua’lam









Tiada ulasan:
Catat Ulasan